Budaya Afrika Selatan

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Budaya pelbagai bangsa di Afrika Selatan

Pergaulan bebas di kalangan masyarakat Afrika Selatan di kawasan-kawasan bandar dan penindasan budaya kaum kulit hitam sewaktu era aparteid telah mengakibatkan hilangnya cara hidup lama di bandar-bandar di sini. Namun, budaya kulit hitam masih wujud di kawasan desa. Beberapa perbezaan budaya tetap ada di antara etnik-etnik di sana, seperti adat perkahwinan dan pantang-larang mereka. Tetapi pada umumnya, tradisi masyarakat kulit hitam adalah berlandaskan kepercayaan kepada dewa-dewa yang perkasa serta maskulin, semangat nenek-moyang dan kuasa-kuasa ghaib. Poligami juga dibenarkan dan "lobolo" (mas kahwin) biasanya akan dibayar. Kerbau memainkan peranan penting dalam kebanyakan budaya, sebagai simbol kekayaan dan binatang korban.

Seni Afrika Selatan boleh dilihat dari pelbagai lukisan gua dan batu oleh puak San, sebahagiannya dilukis sejak 26,000 tahun yang lalu. Manik-manik yang direka secara teliti oleh puak Zulu juga merupakan kraftangan yang popular di negara ini. Malangnya, budaya kaum kulit hitam telah dihapuskan sewaktu era-aparteid. Amalan seharian yang berkait rapat dengan tradisi dan budaya kaum kulit hitam telah diabaikan dan juga dihapuskan. Contoh yang paling ketara adalah pemusnahan "District Six", suatu kawasan pelbagai budaya di Cape Town dan Sophiatown di Johannesburg, di mana ramai pemuzik-pemuzik terkenal antarabangsa berhimpun dan mengasah kemahiran mereka. Antara kumpulan muzik terkenal termasuklah Ladysmith Black Mambazo yang berjaya membawa bunyian Afrika Selatan ke dunia barat, sebelum dan juga selepas aparteid.

Makanan

Makanan daging sering dimasak secara braai yang serupa dengan barbeku

Dari segi makanan, pihak British patut dipersalahkan kerana membawa makanan yang membosankan ke Afrika Selatan. Walaupun begitu, sejak akhir-akhir ini keadaan tersebut telah bertambah baik. Stik atau sosej boerewors, sayur rebus dan chips (kerepek kentang) adalah makanan utama, dan makanan yang lebih mencabar biasanya menakutkan. Para vegetarian akan terasa tersisih di negara ini kerana rakyatnya gemar memakan daging seperti sosej khinzir, daging lembu, kambing dan ayam. Manakala snek popular di negara ini ialah biltong, sejenis daging kering dari daging lembu atau daging buruan, dan ia biasanya dimakan sewaktu menonton pertandingan sukan. Potjie (disebut "pooi-ki") berasal dari Belanda dan merupakan periuk besi berkaki tiga yang digunakan oleh peneroka-peneroka awal Belanda dan juga penjelajah. Ia kemudian digunakan sebagai periuk memasak puak Afrika untuk memasak putu (masakan jagung). Bir dan brandi merupakan minuman paling popular di kalangan masyarakatnya, dan wain terbaik dari Afrika Selatan semakin popular di sini.

Di pesisiran pantai pula, kelompok Portugis mencampur gaulkan masakan mereka dengan penduduk Mozambique, menghasilkan masakan berunsurkan tomato yang pedas iaitu peri-peri, yang terkenal di seluruh Afrika Selatan. Kini restoran Nando's telah membawa masakan ayam peri-peri ke seluruh dunia.

Melayu Tanjung atau "Cape Malays" yang tiba di Cape Town pada akhir abad ke-17 membawa sumbangan terbesar kepada kuisin di Afrika Selatan. Mereka telah membawa sos pedas, chutneys, blatjangs (sos pekat yang dibuat daripada buah-buahan dan perasa), acar , sambal, bobotie (daging cincang berperisa) dan ikan jeruk.

Kaum minoriti India juga mempunyai makanannya yang tersendiri. Makanan yang paling popular di kalangan mereka (terutamanya di sebelah Durban) ialah kari, tetapi ia tidak sepedas kari di negara asalnya iaitu India. Suatu keistimewaan di Durban ialah 'bunny' atau 'bunny chow', iaitu roti putih berisi kari (biasanya daging).

Kaum pribumi Afrika Selatan pula meminati makanan berunsurkan jagung dan sayuran tempatan. Mereka juga memburu burung merpati dan ayam hutan. Makanan kaum Afrika jarang dijual di restoran-restoran di sini, walaupun seseorang itu boleh mendapat nasi yang murah serta "stew" dari gerai-gerai di sekitar kawasan bandar.

Sukan

Masyarakat Afrika Selatan merupakan masyarakat yang "gila" sukan. Namun sukan di sini berkait rapat dengan ras dan bangsa. Misalnya di kalangan kaum kulit hitam, sukan yang paling popular ialah bola sepak dengan pasukan kebangsaan yang dipanggil Bafana Bafana atau 'The Boys'(Budak-budak lelaki). Manakala kebanyakan kaum kulit putih bermain ragbi, dan ia amat diminati oleh kaum Afrikaner, yang mendominasi pasukan kebangsaan, "the Springboks", dan juga kriket, yang secara tradisi dimain oleh bangsa British. Sejak dikaitkan dengan aparteid, pasukan "the Springboks" atau 'Boks' hendak menjadi sebahagian 'Afrika Selatan Baru', dengan menyarungkan Presiden Nelson Mandela dengan jersi Springbok, yang sebelum ini hanya dipakai oleh kaum kulit putih, pada Piala Dunia untuk ragbi pada tahun 1995.

Rata-rata ahli sukan yang terkemuka dari Afrika Selatan adalah daripada kaum kulit putih. Antaranya termasuklah Retief Goosen (golf), Penelope Heyns (perenang kuak dada), Zola Budd (merentas desa) dan Percy Montgomery (ragbi). Walaupun begitu, kaum kulit hitam telah mula mengharumkan nama negara mereka dalam arena sukan antarabangsa termasuk "Baby Jake" Matlala (tinju) dan Josiah Thugwane (maraton). Malah kaum kulit hitam juga telah mula melibatkan dalam permainan kaum kulit putih seperti kriket. Misalnya Makhaya Ntini yang merupakan salah seorang pemain bowler dalam pasukan kriket kebangsaan. [8]

Walaupun begitu, sukan mampu menyatukan rakyat di Afrika Selatan. Acara Piala Dunia yang bakal diadakan di negara ini pada tahun ini akan menjadikan sukan bola sepak popular di kalangan semua masyarakat tak kira bangsa dan warna.

Sastera

JRR Tolkien (1916) penulis siri trilogi Lord of the Rings dilahirkan di Bloemfontein

Afrika Selatan telah melahirkan beberapa penulis bertaraf antabangsa seperti Nadine Gordimer dan J. M. Coetzee kedua-duanya merupakan penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan. Karya Nadine sering berkisar pandangan orang putih liberal terhadap kekejaman aparteid. Penulis bangsa Inggeris J. R. R. Tolkien, penulis The Hobbit, The Lord of the Rings dan The Silmarillion telah dilahirkan di Bloemfontein, Afrika Selatan pada 1892.


Bagi kaum kulit hitam pula novel pertama karya seorang penulis kulit hitam adalah bertajuk Mhudi (yang mula dicetak 1930), oleh Solomon (Sol) Thekiso Plaatje. Cerita epik ini mengisahkan kehidupan masyarakat Tswana semasa dan selepas berdepan dengan tentera Zulu di bawah pemerintahan Shaka, penakluk Zulu pada abad ke-19, dan kisah pengalaman awal dengan kaum kulit putih di kawasan pedalaman.

Rujukan

WikiPedia: Afrika Selatan http://www.britannica.com/eb/article-9113829/LESOT... http://www.time.com/time/europe/html/050606/africa... http://www.youtube.com/watch?v=NsWwz9UmjVk&watch_r... http://www.southafrica.info http://www.southafrica.info/about/education/educat... http://www.southafrica.info/about/sport/greats/ http://web.archive.org/web/20050622043654/http://w... http://dmoz.org/Regional/Africa/South_Africa //ms.wikibooks.org/wiki/Special:Search/South_Afric... //commons.wikimedia.org/wiki/Special:Search/South_...